Pages

Khamis, 25 November 2010

Iman dan Persoalan

Iman Dan Persoalannya
 

Iman adalah asas penting, yang menjadi landasan tempat berdirinya peribadi mukmin. Kalau manusia diibaratkan seperti sebatang pokok, maka iman adalah akar tunjang untuk pokok itu. Kalau manusia diibaratkan seperti sebuah rumah, maka iman adalah tapak berdirinya rumah itu.
 
Demikianlah pentingnya iman dalam usaha melahirkan seorang manusia yang sempurna dan diredhai Allah SWT. Tanpa iman, seseorang itu akan sama seperti pokok yang tidak berakar tunjang atau rumah yang tidak memiliki “foundation”. Maknanya, seseorang yang tidak memiliki iman tidak akan memiliki kekuatan untuk berhadapan dengan hidup. Dia pasti gagal. Kalaupun ada tanda-tanda Islam melalui ibadah lahir, tetapi ibadah itu tidak akan berfungsi apa-apa sewaktu manusia yang tidak memiliki iman berhadapan dengan persoalan-persoalan hidup. Semakin banyak ibadah, semakin cepat gagalnya, seperti halnya semakin besar pokok
yang tidak berakar tunjang, maka semakin cepat tumbangnya atau makin besar rumah yang didirikan di atas lumpur, makin cepat robohnya.
 
Datang ujian kecil pun, orang yang tidak memiliki iman sudah goyang. Apalagi ketika berhadapan dengan ujian-ujian yang besar, hanyut dan tenggelamlah ia. Sejarah telah membuktikan hal itu dalam berbagai bentuk. Seorang wali Allah dengan 'karamah-karamah' yang luar biasa, pengikut berpuluh ribu dan ibadah pun seperti ibadah nabi-nabi, tetapi di akhir hayatnya telah kafir kerana telah berhasil ditipu oleh syaitan hanya dengan seteguk arak dan seorang wanita.
 
Islam dapat tegak dan kekar dalam peribadi atau masyarakat manusia hanya kerana ada dan kuatnya iman. Tanpa iman yang kuat, Islam hanyalah satu simbol lahiriah yang diamalkan sebagai satu amalan tradisi dan kebiasaan semata-mata. Sebaliknya iman yang kuat akan menghasilkan peribadi yang benar-benar kuat dan Islami.
 
Islam adalah amalan lahir, Iman adalah amalan hati (batin). Kalau iman kuat, Islam pasti kuat. Tetapi kalau Islam yang kuat belum tentu imannya kuat. Hal ini mesti diperhatikan betul-betul. Jangan sampai kita menjadi orang yang kuat beramal saja tetapi lemah imannya, sebaliknya jadilah orang yang kuat beriman dan kuat beramal. Allah menjanjikan keuntungan tertentu hanya bagi orang-orang yang beriman dan beramal.
Firman Allah SWT:
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu semuanya berada dalam kerugian. Kecuali orangorang yang beriman dan beramal soleh"
[Al 'Asr: 1-3]

 
Allah menyebutkan iman terlebih dahulu, sebagai syarat bahawa amalan yang diawali atau didorong dengan iman sajalah yang akan dinilai. Rasulullah turut mengingatkan itu dengan sabda baginda :
"Allah tidak melihat kepada rupamu dan hartamu (gambaran lahir) tetapi Dia melihat hati
kamu dan amalan kamu"
[Riwayat Muslim]

 
Sebanyak apapun amalan lahir seperti solat, puasa, menutup aurat, zikir, doa, sedekah, berjuang dan berjihad tidak ada erti apa-apa di sisi Allah. Saya tegaskan sekali lagi bahawa, orang-orang yang beriman sudah tentu akan beramal. Tetapi orang yang beramal belum tentu benar-benar beriman. Dan orang lain yang tidak
beramal sama sekali, tentu lebih lemah imannya atau tidak memiliki iman sama sekali. Sebab itu Allah sering mengingatkan bahawa amalan yang akan diterima-Nya hanyalah amalan dari orang-orang yang beriman. Di antara firman-firman Allah yang menunjukkan demikian adalah:
 
"Maka siapa yang mengerjakan amal soleh, sedang ia beriman, maka usahanya itu tidak
diabaikan dan sesungguhnya kami menuliskan amalan itu untuknya"
[Al Anbia : 94]

 
"Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itu penghuni Syurga, mereka
kekal di dalamnya"
[Al Baqarah : 82]
 
Berdasarkan ayat-ayat itu, kita hendaknya paham atau sadar tentang pentingnya iman itu melebihi amalan-amalan yang lain. Orang yang mengaku beriman tetapi tidak mau beramal adalah penipu. Orang yang beramal tapi tidak beriman adalah tertipu. Oleh sebab itu sebaiknya bersiap-siap untuk memeriksa hati kita sendiri, apakah beriman atau tidak. Cara pemeriksaan itu hendaknya sistematik dan ilmiah, bukan mengira-ngira tanpa panduan. Iman menurut lughah (bahasa yang digunakan sehari-hari) bererti percaya. Sebab itu orang
yang beriman dikatakan orang yang percaya. Siapa yang percaya maka dia dikatakan beriman. Tidak ada huraian tentang bagaimana cara dan syarat percaya yang dimaksud.Yang kedua takrif (pengertian) iman menurut istilah syariat Islam adalah seperti disabdakan oleh Rasulullah SAW yang berbunyi :
 
"Iman adalah mengenal dengan hati, mengucapkan dengan lidah dan mengamalkan dengan
jasad (anggota lahir)"
[At Tabrani]

 
Dengan Hadis itu kita diberitahu bahawa iman adalah keyakinan yang dibenarkan oleh hati, diucapkan dengan mulut (lidah) dan dibuktikan dengan amalan. Ringkasnya orang yang beriman adalah orang yang percaya, mengaku dan mengamalkannya. Tanpa ketiga syarat itu, orang itu belum tentu dikatakan memiliki iman yang sempurna. Bila satu dari tiga faktor itu tidak ada, maka dalam Islam orang itu akan dimasukkan ke dalam golongan lain, mungkin fasik, munafik atau kafir.
 
Mari kita lihat apa yang terjadi pada orang yang tidak memenuhi ke-3 syarat iman tersebut :
1. Seseorang yang beriman dengan ucapan "Lailahaillallah" dan memiliki keyakinan, tetapi tidak beramal atau amalannya tidak sempurna sebagaimana yang dikehendaki, dimasukkan dalam golongan mukmin yang fasik atau mukmin 'asi (durhaka). Di akhirat nanti tempat mereka adalah Neraka. Bila iman yang dimiliki itu sah, maka masih ada peluang untuknya ke Syurga, setelah disiksa dengan siksaan yang pedih.
 
2. Seseorang yang memiliki keyakinan tetapi tidak mau mengikrarkan "Lailahaillallah" baik beramal atau tidak, dimasukkan kedalam golongan kafir. Ada juga qaul yang memasukkan mereka dalam golongan fasik. Tapi menurut qaul yang lebih kuat, mereka termasuk golongan kafir. Bila meninggal mereka tidak boleh dikuburkan di tanah pekuburan Islam, dan di akhirat nanti akan kekal tersiksa dalam Neraka.
 
3. Seseorang yang mengucapkan "Lailahaillallah", kemudian beramal dengan segala tuntutannya (sedikit atau banyak) tetapi keyakinannya masih diliputi keragu-raguan, digolongkan sebagai orang munafik. Ragu-ragu yang dimasukkan di sini bukan saja pada Allah, tetapi mungkin pada Rasul, malaikat, kitab, hari Kiamat atau qadha dan qadar. Apabila seseorang mengucapkan kalimat tersebut, maka ia menjadi seorang Islam. Tetapi
belum bisa dikatakan beriman, walaupun ia mengerjakan solat, puasa, zakat dan haji. Hal ini diberitahukan oleh Allah SWT melalui firman-Nya :
 
"Orang Arab Badwi itu berkata "Kami telah beriman," Katakanlah (pada mereka), "Kamu
belum beriman." Tetapi katakanlah olehmu "Kami telah tunduk (Islam)," kerana iman itu
belum masuk kedalam hatimu, dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan
mengurangi sedikit pun (pahala amalanmu), sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang.
[Al Hujurat : 14]

 
Dari ayat itu dapat diambil kesimpulan bahawa :
1. Seseorang yang Islam belum pasti beriman, tetapi orang yang beriman sudah pasti Islam.
 
2. Islam dapat diketahui melalui amalan-amalan lahir, sedangkan iman adalah amalan hati
(batin).
 
PERINGKAT IMAN
Iman antara satu orang dengan seorang yang lain tidak sama. Ulama telah membahagi iman
menjadi 5 peringkat :
1. Iman Taqlid
2. Iman Ilmu
3. Iman 'Ayan
4. Iman Hak
5. Iman Hakikat
 
Iman Taqlid
" Iman Taqlid adalah iman ikut-ikutan, yaitu orang yang beriman dengan semua rukun iman tetapi hanya ikut-ikutan saja.
 
" Pegangan Islamnya tidak kuat, prinsip Islamnya tidak kukuh. Dia tidak memiliki alasan yang kuat mengapa ia beriman. Kalau ditanya, "Apa bukti wujudnya Allah ?" Dia hanya mampu menjawab, "Saya mendengar orang berkata ada, maka saya pun mengatakan ada".
 
" Sandaran keyakinannya pada orang lain, dia tidak memiliki dalil 'aqli maupun naqli (dalil akal atau dalil Al Quran) untuk membuktikan keyakinannya pada rukun iman.
 
" Majoriti umat Islam hari ini, baik berpangkat atau tidak, miskin atau kaya, bodoh atau bijak, adalah orang-orang yang beriman taqlid. Mereka yang beragama Islam kerana secara kebetulan dilahirkan dari ibu dan bapak yang beragama Islam. Keyakinan mereka kepada Allah hanya kerana kebiasaan sejak lahir.
 
" Mereka lebih tahu tentang anatomi seekor kuman yang sangat kecil, daripada Allah Yang Maha Besar. Mereka lebih mahir tentang bentuk bumi yang sulit dan rumit daripasa suasana kiamat yang dahsyat. Mereka lebih yakin dengan teori sains daripada janji-janji Allah yang terkandung dalam Al Quran dan Hadis.
 
" Sifat orang yang beriman taqlid terhadap agama Islam seperti daun kering yang ditiup angin kesana-kemari. Mereka tidak dapat mengawal keyakinan nafsu yang liar, juga tidak sanggup berhadapan dengan ujian.
 
Menurut dalil yang paling jelas, iman taqlid ini tidak sah. Segala amal ibadah orang yang beriman taqlid tertolak dan tidak mendapat pahala di sisi Allah. Bila iman seseorang ini tidak diterima, seluruh amalannya tidak akan diterima. Kalau orang ini mati dalam keadaan taqlid tanpa berniat menuntut ilmu dan menambah iman, maka mati sebagai orang kafir dan kekal di dalam Neraka. Tetapi Allah memberi maaf kepada orang yang terlalu bodoh, walaupun telah belajar sungguh-sungguh tapi masih tidak dapat. Ada ulama yang mengatakan iman taqlid bagi orang seperti itu, dengan syarat keyakinannya masih jazam.
 
Iman Ilmu
Iman Ilmu adalah iman yang berdasarkan ilmu, yaitu seorang yang telah mempelajari tentang Allah, malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, hari kiamat dan lain-lain yang diwajibkan mengimainya. Ilmu minima yang mesti dimiliki oleh seseorang yang membolehkan berada di taraf iman ilmu adalah :
1. 20 Sifat yang wajib bagi Allah dengan dalil-dalil 'aqli (akal) dan naqli (Al Quran) secara ijmali (ringkas, tanpa kutipan yang terperinci)
 
2. 20 Sifat yang mustahil bagi Allah dengan dalil-dalil 'aqli dan naqli secara ijmali.
 
3. 1 Sifat yang harus bagi Allah dengan dalil-dalil 'aqli dan naqli secara ijmali.
 
4. 4 Sifat yang wajib bagi Rasul, 4 Sifat yang mustahil bagi Rasul dan satu sifat yang harus bagi Rasul dengan dalil-dalil 'aqli dan naqli secara ijmali.
 
Kesemua sifat Allah dan Rasul yang berjumlah 50 itu diyakini dan difahami sungguh-sungguh. 50 Sifat inilah yang terkandung dalam kalimat syahadat. Inilah yang dikatakan 'aqaidul iman atau kesimpulan iman. Jika seseorang itu telah mempelajarinya, memahami dan menyakininya maka orang ini dikatakan beriman ilmu.
Sifat-sifat orang yang beriman ilmu ialah :
 
1. Imannya serta keyakinannya berasas dan kuat bertunjang pada akalnya.
2. Iktiqadnya disertai dengan dalil yang kuat serta pegangan yang kokoh.
3. Mereka benar-benar berada dalam fikiran tauhid yang mantap dan unggul, tidak mudah goyang dan terpengaruh dengan faham dan ideologi selain Islam.
4. Walaupun begitu, mereka tidak kuat melawan hawa nafsu dan syaitan.
5. Mereka tidak takut pada Allah dan mudah berbuat durhaka pada Allah.
6. Mereka hanya mampu mengatakan Islam tapi tidak mampu berbuat atau mengamalkannya. Mereka tidak takut dengan ayat Allah yang berbunyi :
 
"Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu perkatakan apa yang tidak kamu lakukan.
Teramat besar kebencian di sisi Allah, apa yang kamu katakan tetapi tidak kamu lakukan"
[As Shaf : 2-3]

 
Jadi iman ilmu belum lagi dapat menyelamatkan seseorang itu dari Neraka Allah, kerana imannya beru berasas di akal dan belum menjunam ke hati.
 
Iman Ayan
Iman Ayan, tarafnya lebih tinggi dari iman ilmu. Hasil dari latihan yang bersungguh-sungguh, orang yang beriman ilmu akan meningkat kepada iman ayan. Antara sifat orang-orang yang beriman ayan adalah :
1. Imannya bertempat di hati (jiwa), bukan lagi di fikiran sebagaimana orang beriman ilmu.
 
2. Hatinya sentiasa mengingati Allah. Dia sentiasa mempunyai hubungan hati dengan Allah, firman Allah :
 
Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, waktu duduk, dan waktu
berbaring, dan mereka sentiasa memikirkann tenatng kejadian langit dan bumi, seraya
mereka berkata, "Wahai Tuhan kami, tidak Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia. Maha
Suci Engkau, jauhilah kami dari azab Neraka".
[Ali Imran : 191]

 
3. Ibadahnya khusyuk dan meresap ke hati.
4. Sentiasa merasakan kebesaran Allah di mana saja berada dan menyerah diri kepada Allah tanpa syak dan ragu, firman Allah :
 
"Sesungguhnya orang yang sebenarnya beriman ialah orang-orang yang beriman kepada Allah
dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu berjihad dengan harta dan diri mereka pada
jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar"
[Al Hujurat : 15]

 
5. Hati sensitif dengan Allah. Bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka. Firman Allah :
"Bahawasanya orang Mukmin yang sebenar apabila disebut nama Allah, dan dibaca ayat-ayat
Quran, bertambah iman mereka dan hanya kepada Tuhan mereka (Allah) saja mereka
menyerah diri."
[Al Anfal : 2]

 
6. Semua perintah Allah, kecil atau besar dipatuhi dan semua larangan Allah baik sesuai atau tidak sesuai nafsunya, ditinggalkan dengan penuh kerelaan. Firman Allah :
Terjemahan: Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila dipanggil kepada Allah dan
Rasul-Nya agar menghukum dengan adil di antara mereka ia lah “Kami dengar dan patuh.
Mzreka itulah orang-orang yang beruntung” [An Nur : 51]

 
7. Terlalu sensitif dengan dosa. Sabda Rasulullah :
"Orang Mukmini itu, apabila terbuat sedikit dosa, terasa seperti gunung yang besar, yang hendak menimpa mereka."
 
8. Sangat berakhlak dengan Allah dan dengan manusia. Hati sentiasa merasa khusyuk, takut, terasa diawasi oleh Allah, tidak cinta dunia dll.
 
9. Sabar berhadapan dengan ujian-ujian hidup. Sudah mampu mengamalkan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat.
 
10. Sentiasa mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah.
 
11. Tidak lama di hisab di akhirat dan mudah masuk ke syurga.
 
Di dalam Al Quran, Allah memuji golongan yang beriman ayan dan menamakan mereka dengan berbagai nama yang baik, diantaranya :
Solehin (orang-orang yang baik), Abrar (orang-orang yang berbakti), Muflihun/Al faizun(orang-orang yang mendapat kemenangan), Ashabul Yamin (orang yang akan menerima suratan amalan dari sebelah kanan di Padang Mahsyar nanti.
 
Iman Haq
Iman haq adalah iman yang sebenarnya, yang dicapai sesudah iman ayan. Seseorang yang mencapai iman haq, mata hatinya melihat Allah, ertinya setiap kali ia melihat kejadian, hati dan fikirannya tertumpu kepada Allah. Sifatnya ialah :
1. Ingatannya kepada Allah bukan dibuat-buat, terasa hebat dan takut kepada Allah setiap masa. Hatinya tidak lekang dari mengingati Allah, karam atau khusyuk dengan-Nya.
 
2. Hati tidak terpaut dengan dunia dan tidak dapat dilalaikan oleh nafsu dan syaitan. Cintanya penuh pada Allah dan pada kehidupan akhirat.
 
3. Mereka diberi gelar sebagai Muqarrobin oleh Allah, yakni orang-orang yang terlalu dekat dirinya dengan Allah.
 
4. Kebaikan orang soleh itu dianggap satu kejahatan oleh orang-orang Muqarrobin.
 
5. Mereka lah yang dikenal sebagai wali Allah, kerana memiliki sifat-sifat istimewa, sebagaiman firman Allah :
"Sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak pernah merasa takut dan duka cita"
[Yunus : 62]

 
6. Hati dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah seperti zuhud, ikhlas, tawadhuk, dan lain-lain.
 
7. Mereka sentiasa menunaikan perintah Allah, tidak merasa gembira bila dpuji dan tidak merasa hina bila dikeji.
 
8. Kebahagiaan hati mereka lebih utama daripada wang. Mereka mendapat Al Jannatul 'Ajilah atau syurga yang disegerakan.
 
9. Mereka cinta akhirat sebagaimana orang lain mencintai dunia. Mereka inilah yang layak Allah serahkan dunia ini untuk diurus. Firman Allah :
 
10. "Sesungguhnya Allah akan wariskan bumi ini kepada orang yang soleh".
[Al Anbiya : 105]

 
Iman Hakikat
Iman hakikat ialah peringkat iman yang tertinggi dan paling sempurna. Inilah taraf iman yang dimiliki oleh para Rasul, Nabi, Khulafaur Rasyidin dan wali-wali besar, yaitu para kekasih Allah. Mereka akan ditempatkan oleh Allah di dalam syurga yang paling tinggi. Mereka dimasukkan ke dalam syurga tanpa melalui hisab. Hidup mereka 24 jam asyik dengan Allah. Hati mereka kekal mengingati Allah dalam tidur maupun berjaga. Setiap perbuatan mereka semua menjadi ibadah kepada Allah. Ibadah mereka hebat, solat sunat paling kurang 300 rakaat sehari semalam. Akhlak mereka terbaik dan termulia. Allah akan turunkan barakah di
mana mereka berada. Merekalah golongan super-scale akhirat. Hidup di dalam Syurga Yang Maha Indah dan Maha Lezat. Allah karuniakan nikmat tersebut untuk membalas cinta dan pengorbanan mereka yang sungguh besar.
 
Setelah kita mengenal peringkat mana iman kita, hendaklah kita meningkatkannya hingga mencapai tingkat iman yang tinggi yang selamat sejahtera menuju Allah.

Wallahua'lam..

Jumaat, 1 Oktober 2010

Jentik Hati.....


`Bengkok`nya Perempuan...

"Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah merajuk. Kena pujuk, nasihat lembut-lembut, cakap baik-baik... hai leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan menjadi-jadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi."


"Eh, apa yang kau ngomelkan ni Fuad? Siapa yang buat hal kali ni?"


"Staf aku si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak datang kerja. Susahlah macam ni. Kerja pejabat akan terganggu."


"Entah-entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat dah jump to conclusion."


"Alaah... orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok? Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan nanti patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai susah, susah."


"Jangan cakap macam tu, Fuad. Maksud Hadis tu bukan begitu."


"Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan? Apa yang tak kena pulak, Naim?"


"Maksud aku begini. Menafsirkan Hadis itu seolah-olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang "disadvantaged" atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah-olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Bengkok yang disebut di dalam Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara-perkara yang tidak baik."


"Buktinya, apabila Rasulullah s.a.w. datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap "golongan yang tak berguna" kepada "sayap kiri" kepada masyarakat. Beliau ada memberikan tugas-tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri, tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan."


"Tapi, memang orang perempuan kuat merajuk. Jenuh kita nak layan dia."


"Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan saja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk atau cara `protes` tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman lemah, bukan sebab jantina. "Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan berlemah-lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah-marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah-entah waktu itu kita lebih`bengkok` daripada mereka!"


"Eh, eh engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje."


"Aku bukannya nak bela siapa-siapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu."


"Apa maksud sebenar Hadis tu?"


"Orang perempun yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu "penyempurnaan". Sepertimana juga usus manusia yang berlipat-lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat `pelindung`. Ia melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung, paru-paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yang bengkok itu."


"Oh begitu. Jadi bila Nabi katakan yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?"


"Begitulah. Selain itu, maksud `tulang rusuk yang bengkok` itu ialah sifat `rahmah`. Orang perempuan itu sifat semulajadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat-sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak-anaknya yang berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan."


"Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat, dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu jangan cuba buang sifat "bengkok" ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas-tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ-organ yang penting tadi tidak akan selamat."


"Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkanlah betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar."


"Hmm, betul tu Naim."


"Sebenarnya tiada siapa yang `bengkok` mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya."


"Baru aku sedar, akulah yang bengkok. Asyik marah-marah dan tidak sabar."


"Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih `bengkok` daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah yang lebih `bengkok` daripada semua orang lain di muka bumi ini..."

Berdoa dengan tawassul

Masalah tawassul itu begini:
'Tawassul artinya mengerjakan sesuatu amal yang dapat mendekatkan diri kita kepada Tuhan".
Dalam al Quran istilah "'wasilah" disebut dalam dua tempat, yaitu

1. Pada surat al Maidah


"Hai orang-orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah, dan carilah wasilah (jalan) - yang mendekatkan - kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan Allah, supaya kamu jadi beruntung" (Al Maidah : 35)
."
Dalam ayat ini ada 3 hukum dapat dikeluarkan
  1. Kita wajib patuh (tha'at) kepada Allah.
  2. Kita disuruh mencari "jalan" yang bisa mendekatkan diri kepada Allah.
  3. Kita disuruh berjuang (jihad) di jalan Allah. Kalau yang tiga ini dikerjakan maka kita ada jaminan untuk mendapat kemenangan duna-akhirat.

2. Pada surat al Isra'


"Mereka mencari wasilah (jalan) untuk mendekatkan din kepada Tuhan-. (Al Isra' : 57).

Maka berdoa dengan bertawassul ialah berdo'a kepada Tuhan dengan wasilah, yaitu dengan mengingat sesuatu yang dikasihi Tuhan.
Kalau dicontohkan kepada situasi keduniaan, umpamanya kita akan minta pekerjaan kepada sesuatu jawatan, tetapi kita tidak begitu dikenal oleh kepala kantor jawatan itu, maka kita lalu mencari jalan, yaitu menghubungi sahabat kita yang bekerja pada kantor itu dan dengan pertolongannya permintaan kita menjadi terkabul.
Ini permohonan dengan "wasilah- namanya.
Atau dalam soal ini kita langsung menemui kepala kantor dan langsung memohon kepadanya untuk minta pekerjaan, dengan memberi tahu atau memperingatkan kepadanya bahwa kita yang bermohon ini adalah berteman dengan anaknya. Ini juga meminta dengan wasilah (tawassul) namanya.
Wasilah semacam ini hanya sekedar untuk lebih memudahkan terkabulnya permintaan yang memang pada dasarnya juga dapat dikabulkan. Jangan keliru faham. Kita minta pekerjaan hanya kepada kepala kantor, tidak pada kawan kita tadi dan bukan pula kepada anaknya itu, tetapi kawan kita itu atau anaknya itu sekedar mwmbuka jalan untuk mendapatkan fasilitas.
Begitu juga berdo'a dengan wasilah atau tawassul kepada Tuhan. Contoh-contohnya do'a bertawassul :
  1. Kita datang kepada seorang Nabi atau seorang ulama yang dianggap mulia dan dikasihi Tuhan, lalu kita katakan kepada beliau : Saya akan berdo'a memohon in atau itu kepada Tuhan, tetapi saya harap pula tuan Guru mendo'akan kepada Allah bersama saya, supaya permintaan saya dikabulkan-Nya. Lalu kedua orang itu rneado'a.
  2. Kita datang ziarah kepada Nabi di Madinah, ketika itu - taroklah - beliau masih hidup atau pada ketika beliau telah wafat, maka kita mendo'a di situ dan kits harapkan agar Nabi Muhammad Saw. mendo'akan kita pula kepada Allah. Ini namanya mendo'a dengan tawassul, dengan orang yang masih hidup atau yang telah wafat.
  3. Kita datang ziarah ke makam Tuan Syekh Abdul Qadir al Jailani, seorang ulama tasauf yang besar di Bagdad, lantas kita mendo'a di situ kepada Tuhan begini bunyinya:
    "Ya Allah, Ya Tuhan yang Pengasih dan Penyayang, saya mohon ampunan dan keredhaan-Mu berkah beliau yang bermakam di sini, karena beliau ini saya tahu, seorang ulama besar yang engkau kasihi. Berilah permohonan saya, Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim !"
    Do'a macam in namanya do'a bertawassul.
  4. Kita mendo'a kepada Tuhan Yang Maha Esa begini bunyinya
    "Ya Allah berkat "jah" (tuah) Nabi Besar Muhammad Saw. berilah permohonan saya"..
    Ini namanya do'a bertawassul dengan jah (tuah) Nabi.
  5. Kita berdo'a umpamanya begin:
    "Ya Allah, berkat nama-Mu yang Besar, berilah saya ini itu". In mendo'a bertawassul dengan nama Tuhan.
  6. Kita mendo'a umpamanya begin:
    "Ya Allah, saya ada mengeriakan amalan yang baik, yaitu saya tetap hormat kepada ibu bapa saya. Kalau amal itu diterima oleh ENGKAU maka berilah permohonan saya ini dan itu".
Amal do'a bertawassul serupa itu diamalkan oleh Ulama-ulama Kaum Ahlussunnah wal jama'ah sedari dulu sampai sekarang, tetapi dengan lancang Ibnu Taimiyah cs. menfatwakan bahwa aural macam itu syirik atau kufur, na'udzubillah.
Bagi barangsiapa yang hendak mendalami masalah ini bacalah Kitab Syawahidul Haq", karangan Syekh Ismail an Nabhani, cetakan Syirkah wa Mathba'ah Mushthahafa Babil Halaby, Kairo.
Rujukan:
K.H. Siradjuddin Abbas, 40 Masalah Agama Jilid 1 cetakan ke-33

Kategori Umat Islam

Kategori Umat Islam

........
Kedatangan Rasulullah SAW adalah Rasul yang akhir, itu
agama Tuhan yang paling sempurna, paling global, agama
untuk semua etnik, semua kaum, semua bangsa. Walaupun
begitu ketika zaman sudah jauh, masa sudah beredar,
keadaan sudah berubah, maka agama yang sudah
ditinggalkan Rasulullah SAW pada umatnya 1,500 tahun,
mungkin agama ini sudah cacat. Dicacatkan oleh cinta
dunia, dicacatkan oleh kejahilan, dicacatkan oleh
setengah faham setengah tidak faham, dicacatkan oleh
mazhab yang datang kemudian. Maka kalau kita
kategorikan umat Islam hari ini, entah ada berapa
banyak kategori.
Tapi dapat kita sebut seperti ini, kerana Islam sudah
jauh dari Rasulullah SAW, maka
Kategori ke-1.
ada yang mengaku Islam atas dasar keturunan. Dia
sendiri tak tahu dia Islam atau tidak.
Kategori ke-2
Tinggal akidah saja yang Islam. Akidah betul, mengenal
Tuhan betul, tapi tak ada syariat lagi hingga
sembahyang pun tak dia buat. Dia masih orang Islam,
tapi masuk Nerakanya sangat lama.
Yang ke-3, akidahnya betul, mengenal Tuhan betul, tapi
syariat yang diambil hanya di bidang ibadah saja.
Ekonomi, pendidikan, perhubungan, semua tak ikut
syariat. Nikah & kawin tak ikut syariat islam. Tinggal
ibadah saja. Ini termasuk orang islam yang zalim atau
fasik
Yang ke-4, umat Islam yang akidahnya betul, syariatnya
selain ibadah dan juga berlaku syariat dalam
kehidupan. Tapi ia tidak memikirkan apakah syariat itu
dibuat dalam keadaan riya, sombong dan hal-hal
rohaniah, yang penting secara lahir dia buat syariat
tersebut. Makan minum, pergaulan, sembahyang puasa dia
jaga. Tapi dia tak fikir apakah dia riya, apakah
karena Tuhan, apakah karena orang. Ini termasuk orang
fasik, tapi tak setebal fasik yang tadi.
Kategori ke-5, orang Islam yang akidahnya betul dan
menjalankan syariat, baik di bidang ibadah, ataupun di
bidang kehidupan, cuma dia khusyuk, dia takut Tuhan,
hanya di waktu ibadah saja. Di luar sembahyang, di
luar ibadah, tak ada rasa takut dengan Tuhan, tidak
merasa bertuhan. Kita anggap mereka ini orang soleh,
tetapi mereka belum bertaqwa.
Yang ke-6. Orang yang dapat menghayati Tuhan di waktu
ibadah, takut dengan Tuhan di dalam dan di luar
ibadah, tapi dalam pada itu ada lalainya, ada lupa
dengan Tuhan, sekali sekali saja dalam kehidupan dia
lalai dengan Tuhan. Itulah orang bertaqwa.
Yang ke-7, Orang lahir dan batinnya dengan Tuhan,
dalam keadaan ibadah atau tidak ibadah hatinya selalu
dengan Tuhan. Lahir dan batin sama. Lahir
menggambarkan batin, batin menggambarkan lahir. Itu
orang yang siddiqin. Mereka dari kalangan Rasul-rasul,
Nabi-nabi atau wali-wali besar.
-ASZ-

Wasiat Rasulullah

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW
Wahai Manusia,dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan.Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia,sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci,maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu.Allah telah mengharamkan riba,oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.Dan dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar,maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti nya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia,sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu ,mereka juga mempunyai hak di atas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik,berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia.Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia ,dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini,Sembahlah Allah,Dirikanlah solat lima kali sehari,Berpuasalah di Bulam Ramadan dan Tunaikanlah Zakat dari harta kekayaan kamu.Kerjakanlah ibadat Haji sekiranya kamu mampu.Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain.Kamu semua adalah sama,tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah,bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan.Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia,tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.Oleh itu wahai manusia,nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.Sesumgguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara,yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya ,nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain.Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku.Saksikanlah Ya Allah bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba mu.

(Khutbah ini disampaikan oleh Rasullah s.a.w pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah,Gunung Arafah.)